Wednesday, July 15, 2009

Sultan Pahang sebak di majlis perasmian Jubli Perak SMKATAHAP

It was an unforgettable event.. celebration of Silver Jubilee... Sek. Men. Keb. Agama Tengku Ampuan Hajah Afzan Pahang.



SULTAN Ahmad Shah mengesat air mata sebelum merasmikan Sambutan Jubli Perak Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tengku Ampuan Hajjah Afzan Pahang, di Jerantut, semalam.

JERANTUT: Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah sebak apabila mengenangkan isteri baginda Allahyarham Tengku Ampuan Afzan ketika bertitah merasmikan sambutan Jubli Perak Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tengku Ampuan Hajjah Afzan, di sini, semalam.

Baginda beberapa kali terpaksa berhenti berucap bagi menahan kesedihan dan kelihatan mengesat air mata sebelum meneruskan semula titahnya.

“Sekolah ini menggamit seribu kenangan buat saya kerana nama sekolah ini mengambil nama sempena isteri beta yang amat dikasihi.


“Malah, beta pernah ke sini beberapa tahun lalu dan ia (kenangan) masih tersimpan dalam memori ingatan saya,” titahnya.

Turut hadir Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar; Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah, Perpaduan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan, Datuk Mohamad Sahfri Ab Aziz dan Pengarah Pelajaran Negeri, Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff.

Sultan Ahmad Shah bertitah, sekolah itu banyak mengalami pembaharuan dalam tempoh 25 tahun lalu, termasuk dilengkapi pelbagai kemudahan untuk kemajuan pendidikan dan meningkatkan pencapaian pelajar.
Titahnya, penambahbaikan kemudahan itu sudah tentu merangsang kemudahan pelajar untuk menimba ilmu di samping tidak mengabaikan pembinaan akhlak dan sahsiah diri.

“Sesungguhnya saya sukacita dan berbangga dengan pencapaian sekolah ini sehingga mampu menjadikan antara sekolah terbaik di negeri ini.

“Ini digambarkan menerusi pelbagai kejayaan yang diperoleh pelajarnya dalam semua bidang sama ada kurikulum dan kokurikulum,” titahnya.

Sehubungan itu, baginda berharap warga sekolah berkenaan akan menggunakan peluang dan ruang melalui projek itu untuk memanfaatkan ilmu yang berkaitan dengan pembestarian sekolah.
Pada majlis yang sama, baginda turut mengumumkan sumbangan peribadinya berjumlah RM50,000 kepada tabung sekolah berkenaan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...