Sunday, May 23, 2010

...Tergamak biarkan ibu bapa di rumah orang tua...

IBU bapa bercerai sejak anak masih kecil dan sikap bapa yang tidak mahu bertanggungjawab selepas perceraian menjadi punca anak tidak mahu menjaga bapa dan lebih rela membiarkan mereka di rumah perlindungan warga tua.

Pengarah Bahagian Warga Tua dan Keluarga, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Mohd Fazari Mohd Salleh, berkata sebahagian warga emas diabaikan kerana anak sudah biasa sejak kecil hidup tanpa bapa.
“Kerap kali apabila berlaku perceraian, anak akan duduk dengan ibu dan sikap bapa yang mengabaikan tanggungjawab terhadap anak menyebabkan hubungan antara anak dan bapa renggang. Ada sesetengah waris menolak untuk menjaga bapa mereka atas alasan itu walaupun mampu dari segi kewangan untuk berbuat demikian,” katanya.
Kata Fazari, ada juga waris yang ingin menjaga bapa atau ibu mereka, tetapi tidak berupaya dari segi kewangan. Bukan saja perlu menampung bayaran pengangkutan dan rawatan susulan di hospital, tetapi juga sara diri pesakit terutama mereka yang memerlukan makanan khas dan lampin pakai buang menyebabkan waris terpaksa menempatkan ibu atau bapa di Rumah Seri Kenangan.

“Begitu juga jika pesakit menghidap penyakit kronik, bermasalah mental dan tidak upaya menjaga diri sendiri,” katanya.

Dalam hal begini kata Fazari, pesakit biasanya tidak mahu menyusahkan anak dan memilih dengan sukarela untuk tinggal di Rumah Seri Kenangan.

“Dengan taraf kehidupan yang semakin meningkat, ramai suami isteri kini bekerja, manakala anak memiliki jadual persekolahan atau kelas tambahan.
Justeru, mereka sukar untuk menjaga ibu atau bapa, apatah lagi jika ibu bapa itu uzur dan memerlukan perhatian penuh,” katanya.

Kajian Jabatan Kerja Sosial Perubatan Hospital KUala Lumpur juga mendapati ada kes pesakit terdampar kerana halangan daripada menantu.

Dalam keadaan ini biasanya, menantu lelaki tidak membenarkan isteri menjaga ibu atau bapa mentua kerana menganggap mentua ‘pengacau’ dalam rumah tangga mereka.

Bagaimanapun, bukan semua kes pesakit terdampar terbeban dengan kesilapan silam ibu atau bapa. Ada juga kes, ibu bapa mendidik anak dengan elok dan terdidik hingga ke menara gading. Bagaimanapun, mereka enggan menjaga ibu bapa kerana tidak menganggap ibu dan ayah penting dalam hidup.

Selain itu, ada kes, warga emas memilih untuk keluar dari rumah berikutan berlaku perceraian pada usia emas. Tidak mahu menyusahkan anak, mereka memilih untuk menjadi penghuni Rumah Seri Kenangan.
Admax Supports Eco-Living . Click here for 10 easy things you can do today to go green!

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...