Wednesday, June 17, 2009

Artikel : Mengidam semasa Mengandung

Dipetik dari : MyMasjid.
1.      Gejala Mengidam
Hampir semua wanita dari berbagai bangsa dan budaya yang berbeza
mengalami keinginan mengidam ini. Sukar untuk mengatakan apa
sebenarnya gejala mengidam. Kerana terlalu banyak keinginan-keinginan
daripada setiap wanita yang hamil. Ada yang mengidam makanan benda
yang masam-masam seperti mangga muda, limau dan sebagainya. Ada juga
yang mengidam rojak, coklat, kepala ikan dan sebagainya.

Ada juga gejala mengidam, yang melampau batas normal seperti ingin
menghidu minyak kereta, menjilat bau rokok, meminum minyak angin dan
lain-lain perkara yang dianggap pelik. Gejala-gejala mengidam ini
telah ada semenjak zaman dahulu dan terjadi pada setiap golongan
masyarakat.

Mengidam itu juga sangat erat kaitannya dengan perubahan hormon di
dalam tubuh wanita. Pada peringkat awal mengandung, ari-ari banyak
menghasilkan hormon yang dapat mengganggu keseimbangan tubuh. Perkara
ini dapat menimbulkan berbagai reaksi dalam diri wanita tersebut.
Mungkin akan menjadi kurang seimbang, sehingga boleh bertengkar hanya
disebabkan perkara-perkara kecil.

Perubahan-perubahan hormon itu juga mengubah selera wanita yang hamil.
Mungkin sahaja ia tiba-tiba menginginkan makanan yang jarang atau
tidak menyukainya sama sekali. Jika wanita yang sedang hamil itu ingin
makan sesuatu yang menurutnya enak, maka itu bukanlah mengidam
namanya. Tetapi jika ia benar-benar menginginkan sesuatu yang tidak
lazim ia makan dan kadangkala tidak kita punyai, bahkan keinginannya
itu hampir-hampir tidak dapat dibendung, maka ia boleh dikatakan mengidam.

Kadangkala seorang wanita tidak suka dengan mangga muda, tiba-tiba ia
terbangun di tengah malam, kerana ia benar-benar ingin memakan buah
tersebut di waktu itu juga. Banyak lagi kejadian-kejadian yang pelik
yang dilakukan oleh wanita yang sedang hamil ini kerana mereka
mengidam sesuatu. Namun begitu gejala mengidam ini adalah biasa,
perkara ini biasanya dapat difahami oleh orang lain.
2.      Mengidam perubahan hormom dalam tubuh
Setiap wanita mengandung akan mengalami perubahan hormon, tetapi dalam
perkara mengidam terdapat perbezaan antara masing-masing individu. Ada
yang tidak dapat menahan keinginan yang pelik-pelik, tetapi ramai juga
yang tidak berperangai seperti orang mengidam, kerana mereka lebih
dapat menahan dirinya. Mereka disiplin terhadap diri sendiri dan
mengatur keinginan ke arah yang positif.

Masa mengidam itu mungkin menjadi kenangan yang sukar dilupakan
nantinya. Asalkan yang diinginkan itu bukanlah makanan yang membawa
mudarat, seperti kapur, tanah, daging babi dan sebagainya. Jika
mengidam dengan benda-benda yang asam mungkin masih boleh dikatakan
tubuh memerlukan vitamin yang terkandung dalam asam tersebut.

Jika yang diidamkan itu sering kepada makanan yang kurang baik pada
kesihatan kerana banyak mengandung lemak serta tidak mengandungi bahan
pembangunan badan, maka sudah tentu akan mempengaruhi pertumbuhan
janin. Pada zaman sekarang ini boleh dikatakan hampir setiap wanita
mengetahui bahawa bayi dalam kandungan memerlukan bahan makanan yang
baik untuk pertumbuhan dan perkembangannya. Namun masih ada yang
mengidam sesuatu yang kurang baik untuk kesihatannya. Kadangkala apa
yang baik yang diidamkan itu tidak difikirkan dahulu manfaatnya, baik
untuk dirinya sendiri mahupun untuk bayi yang ada dalam kandungannya.
3.      Pengaruh Mengidam
Pada zaman dahulu ada pendapat yang mengatakan bahawa bila keinginan
seorang wanita hamil tidak terpenuhi akan berakibatkan buruk pada
bayi. Mengidam dianggap merupakan isyarat kepada bayi yang meyatakan
keinginannnya dengan berbagai macam selera. Oleh sebab itu seorang
suami yang penuh perhatiannya akan berusaha memenuhi keinginan
isterinya, walaupun ia harus bersusah payah untuk mencarinya waktu
tengah malam dan sebagainya.

Mengidam sebenarnya tiada hubungannya dengan bayi mahupun
kesihatannya. Walaupun begitu para suami zaman sekarangpun berusaha
untuk memenuhi keinginan isteri yang mengidam itu. Ia masih
beranggapan bahawa keingianan tersebut adalah keinginan bayi yang ada
dalam kandungan isterinya.

Mengidam itu paling kuat dirasakan antara minggu ke lapan dan keenam
belas dari masa kehamilan, iaitu ketika rasa mual mula agak
berkurangan. Setelah minggu keenam belas, biasanya mengidam ini agak
berkurangan, kerana tubuh telah dapat menyesuaikan diri dengan
perubahan hormon. Tetapi dapat juga terjadi, sepanjang hamil masih
terus mempunyai keinginan untuk makan makanan tertentu. Ini disebabkan
dalam jangka masa pertama mengidam itu erat kaitannya dengan perubahan
hormon dalam tubuh. Kemudian pada jangka masa seterusnya, boleh
dikatakan ini lebih bersifat kecanduan.

Perubahan hormon di awal kehamilan menyebabkan berubahnya selera.
Itulah sebabnya terhadap makanan tertentu, hanya mencium baunya sahaja
sudah membuat wanita hamil menjadi mual. Misalnya bau nasi yang baru
masak, bau orang menumis, bau asap rokok dan sebagainya. Ramai juga
wanita yang sedang hamil muda tidak mempunyai selera sama sekali untuk
makan. Ada pula yang selama tiga bulan pertama kehamilannya terus
merasa mual, sehingga tidak menyukai beberapa jenis makanan tertentu.

Mengidam itu merupakan dorongan dari dalam. Selama yang diingini oleh
wanita yang hamil tidak mengganggu keselamatan bayi mahupun dirinya
sendiri, hal itu tidak ada salahnya. Tetapi pada umumnya segala apa
yang diinginkan hanya membuat tekanan darah menjadi naik, pencernaan
terganggu, membuat badan menjadi gemuk. Malah kadangkala menghilangkan
nafsu makan sehingga tidak mahu lagi makanan yang menyihatkan. Oleh
itu keinginan atau mengidam makanan yang tidak menentu itu hendaklah
dilawan sahaja.

Seorang ibu yang hamil ketika datang keinginan terhadap sesuatu atau
mengidam ini, hendaklah menemui teman-teman yang ada disekelilingnya,
untuk mendapatkan pandangan tentang keinginannya tersebut. Dengan
demikian sahabat terdekat atau keluarga dapat menyarankan dan
mengalihkan sesuatu yang tidak baik yang diingini itu kepaa sesuatu
yang lebih bermanfaat. Kerana mengidam sebenarnya adalah sesuatu
perasaan yang ada dalam hati kecil, ataupun sesuatu keinginan yang
tersembunyi, kalau diceritakan kepada orang lain, mungkin akan
berkurangan.

Bagi yang mengidam selama kehamilan, maka hari terakhir sebelum
melahirkan merupakan hari yang terakhir mengidam. Pada waktu
kelahiran, susunan hormon juga berubah lagi, kerana keluarnya ari-ari
bersama bayi. Akibat perubahan ini selera makanpun akan berubah juga.
Apa yang disukai ketika hamil mungkin sekarang tidak disukai lagi.
Kalau pada kelahiran pertama boleh dikatakan setiap hari memakan
makanan yang asam dan pedas-pedas, maka ini tidak bererti kebiasaan
itu akan kembali semula pada kehamilan yang berikutnya. Walaupun
kemungkinan itu ada, kerana sekarang lebih dapat menahan diri, maka
keinginan untuk makan yang aneh-aneh itu akan mudah untuk ditahan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...